Friday, January 29, 2010

New Year, New Beginning, New Determination, New Challenge


Alhamdulillah kali ini kedatangan Tahun Baru Hijriah dan Tahun Baru Masehi boleh dikatakan serentak. Tidak jauh bezanya, hanya dalam tempoh satu minggu sahaja. Setiap kali menyambut tahun baru, banyak perkara yang boleh ditinjau semula untuk dibuat pertimbangan sewajarnya sama ada masih perlu atau tidak lagi perlu. Saya sering bertanya kepada anak-anak setiap kali mereka meminta dibelikan sesuatu, yang saya kira tidaklah atau kurang signifikan daripada sudut kewajarannya, akan soalan berikut, "keperluan atau kemahuan?". Memanglah, mereka akan merungut, namun saya berpendapat kita perlu mendedahkan kepada mereka akan langkah-langkah membuat pertimbangan apabila berhadapan dengan sesuatu pilihan, masalah atau situasi.

Kembali semula ke sambutan tahun baharu, saya letakkan tajuk seperti di atas kerana bagi saya tahun 2010 ini merupakan tahun yang banyak signifikannya kepada saya, secara peribadi. Kata orang putih, "life start at 40", menurut sejarah Islam, Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama tatkala berusia 40 tahun, kata orang Melayu pula, waktu umur mencecah 40 tahun, kita akan berada di beberapa persimpangan sama ada ke kiri atau ke kanan, patah balik atau "meredah jalan tak tentu hala". Mugkin pengalaman selama 40 tahun boleh membantu kita untuk membuat pertimbangan dan menilai serta melihat kewajarannya sebelum kita berbuat sesuatu.

Kata salah seorang sahabat saya, kita seharusnya bersyukur kerana berjaya sampai ke tahap ini. Ramai yang telah pergi meninggalkan kita tatkala berada di tahap kita, malah ada juga yang masih belum mencapai tahap kita. Saya bertemu dengan salah seorang sahabat sekolah rendah saya baru-baru ini, dan dilanjutkan melalui FB, beliau secara drastiknya telah membuat keputusan untuk kembali aktif seperti dahulu dan meletakkan kesihatan diri sebagai keutamaannya. Bagi saya, alhamdulillah kerana semua perkara yang dilakukannya, insya Allah akan membawa kebaikan. Terutamanya daripada aspek kesihatan, kerana waktu umur menginjak 40 tahun, badan, fizikal, minda, mental danintelektual kita akan terdedah kepada semua pilihan yang ada. Persoalannya ialah, "to be or not to be?". Jadi, semuanya berbalik kepada diri kita sendiri, di samping persekitaran dan orang-orang yang rapat dengan kita. Kata hadith, "siapa diri kamu itu bergantung kepada orang-orang yang berada di sekeliling kamu".

Sebelum terlupa, blog ini dikemaskini tepat satu tahun selepas kali terakhir dikemaskini ialah pada tarikh 29 Januari 2009. Apa signifikannya tarikh tersebut kepada kami? Hari ini ialah tarikh ulang tahun kelahiran isteri saya, dan ibu kepada anak-anak saya.

Kami doakan semoga Mama sentiasa sihat sejahtera, dilimpahi kurnia kesihatan kelapangan, rezeki, kelapangan, panjang umur, barakkah, inayah dan hidayah dari-Nya, insya Allah.

Terima kasih juga kerana sentiasa bersama kami selama 12 tahun ini. Terima kasih kerana menerima kami seperti adanya. Mudah-mudahan kasih sayang kita berkekalan selamanya.

Dari kami:

Aqif Jazlie Rizal, Imran Rizal, Jamal Rizal.
Kampung Pak Mahat, Kuantan.

Thursday, January 29, 2009

Isteriku!


Tahun sudah berganti yang baru. Lama juga tidak menulis di laman ini. Mungkin juga kerana kesibukan dengan kerja-kerja di pejabat dan lain-lainnya. Bukan tidak pernah bercuti, tetapi cuti yg ada dimanfaat sesungguhnya utk keluarga, sama ada di kampung mahupun di sini.

Hari ini, 29 Januari adalah hari ulang tahun kelahiran isteriku tercinta. Bertambah lagi setahun umur kita.

Ungkapan "disebalik kejayaan seorang lelaki, ada seorang wanita" tidak boleh disangkal. Bagi seorang suami, isteri adalah orang yang paling rapat dengannya dalam meniti pancaroba perjalanan hidup. Bagi seorang anak, ibu menjadi inspirasi. Pengalaman menyaksikan Mak (Hajah Zabedah Mat Yuna) menjalani hidup bersama Allahyarham Abah (Haji Razali Suboh) adalah pengalaman yang tidak mungkin dilupakan. Terlalu banyak pengajaran yang diperoleh. Bagaimana mereka berdua mengemudi kehidupan kami sekeluarga sangat menginsafkan. Bagaimana mereka berdepan dengan cabaran membesarkan kami sekeluarga sehingga kami semua berjaya (Alhamdulillah!) terlalu bererti. Hanya Allah jua yang dapat membalasnya. Hanya doa yang dapat kami panjatkan.

Alhamdulillah, setakat ini, mudah-mudahan buat selama-lamanya, isteriku akan sentiasa menjadi pendorong, pemberi inspirasi, dan segala-galanya bagiku dalam menjalani kehidupan yang sangat mencabar ini.

Selamat hari ulang tahun kelahiran buat isteriku.

Dari kami, Aqif Jazlie Rizal, Imran Rizal, Jamal Rizal.

Wednesday, September 10, 2008

CINTAKAN NEGARA



Sejak akhir-akhir ini pelbagai perkara pelik berlaku di negara kita ini. Ulang tahun kemerdekaan kali ke-51 baru-baru ini seperti sambutan biasa yang tidak meninggalkan kesan. Entah apa silapnya, semakin ramai rakyat Malaysia menjadi aneh dalam tingkah laku dan akal fikirannya. Semua perkara mahu dipersoal dan dipertikai. Paling mengerikan apabila segelintir kecil manusia yang menggelar diri mereka pemimpin mempersoal kebebasan di negara ini sebagai kebebasan bersyarat.

Di dunia ini sebenarnya tidak ada kebebasan mutlak. Semua kebebasan ada had dan batasnya. Pepatah Inggeris menyebut bahawa "sky is the limit" yang menyatakan bahawa apa jua yang dibuat, difikir dan diangankan, PUN masih ada batasnya. Jika kita ingin mengamalkan kebebasan mutlak, kita akan menjadi seperti binatang. Sebagai contoh, daripada aspek pewarisan, seekor binatang tidak semestinya hanya boleh digauli oleh pasangannya sahaja, tetapi oleh mana-mana binatang yang kehausan dan memerlukan layanan. Adakah kebebasan seperti ini yang kita inginkan?

Atau di dalam kes perkahwinan sejenis yang diamalkan di negara-negara Barat. Mereka sering menggunakan hak asasi manusia sebagai penghalal kepada perbuatan tersebut. Sebenarnya, perbuatan mereka itu juga atau turut menidakkan hak asasi orang lain, atau jiran di sekeliling mereka. Manakan tidak, jika kita mempunyai jiran yang sama jenis tetapi berpelukan dan melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Sebenarnya, keadaan di negara kita jauh lebih baik daripada negara lain. Hanya sahaja, kita kadang-kadang tidak mahu mengakui kejayaan para pemimpin kita dan diri kita sendiri juga menjaga keharmonian negara ini. Cukuplah kita mempersoalkan hak-hak orang lain, kerana hak kita sendiri pun belum tentu kita tahu dan kita jaga.

Biar rosak nila seketul, jangan rosak susu sebelanga!

Tuesday, September 9, 2008


PUASA DAN ANAK-ANAKKU

Puasa kali ini sangat memberi kesan kepada kami suami isteri kerana kedua-dua anak kami berpuasa. Perasaan gembira, bangga, lucu, sedih semuanya bercampur-baur. Ini semua mengingatkan kembali kepada kenangan berpuasa semasa kecil dahulu.

Jika tidak salah diingatan, saya hanya berpuasa penuh mulai darjah 3, sewaktu berumur 9 tahun. Sebelum itu, puasa "yang-yok", siang-siang buka periuk. Nakalnya waktu itu, saya berkomplot dengan arwah Aki (Hj. Suboh bin Abas) mencari nasi, kuih atau bubur pisang yang dimasak oleh arwah Wan (Hjh. Saujah bt Lebai Kudap) di dapur. Aki tak makan, tetapi cucunya yang makan. Bila tiba waktu berbuka, Wan akan selalu terkejut melihat bubur pisang atau bubur keledeknya berkurangan. Namun, "kemahiran" itu tak perlulah diturunkan kepada anak-anakku, semoga mereka berpuasa sesungguhnya, tidak seperti Baba mereka.

Kenangan berpuasa di perantauan juga penuh nostalgia. 4 kali menyambut dan meraikan Ramadhan di Bumi Andalas sememangnya penuh dengan cabaran. Semua itu mematangkan. Sekarang, Ramadhan kali ini, insya Allah akan berusaha yang terbaik menjalankan syariatNya. Kalau tidak, malulah Baba dengan anak-anaknya!

RAMADHAN AL-MUBARAK 1429


Assalamualaikum wrh wbh,

Alhamdulillah, Ramadhan datang lagi menjenguk kita kali ini. Mudah-mudahan kita semua diberikan kekuatan dan kelapangan untuk meraikan Ramadhan yg hanya berkunjung sekali dalam setahun.

Bagi saya dan keluarga, setiap kali Ramadhan datang terutamanya selepas 2004 (Ramadhan 1425), ianya membawa erti yg sangat mendalam dan berbekas. Ketika Ramadhan menjengah hari ke 27, ayahandaku, Haji Razali bin Haji Suboh (60 tahun ketika itu) kembali ke rahmatullah. Beliau menghidap sakit jantung dan meninggal dunia semasa berada di wad Hospital Besar Temerloh (lama).

Namun, kehidupan kita mesti diteruskan. Sahabat saya, Ustaz Zuridan sering menyebut bahawa, kita yg masih ada di dunia ini sentiasalah berdoa ke hadrat Allah SWT agar roh mereka yg terdahulu mendapat berkah dan kurnia dariNya. Selain itu, doa yg kita panjatkan itu adalah amal jariah sama seperti ilmu, usia serta harta yg kita miliki. Doa ialah sedekah yg tidak akan terhenti dari kita kepada mereka yg telah tiada.

Ramadhan 1429 ini, saya sangat gembira apabila kedua-dua anak saya berpuasa. Bagi Abg Aqif, beliau telah mula berpuasa sejak bersekolah tadika, tetapi bagi adik, Iman, agak liat sedikit. Pada hari pertama, beliau berbuka pada pukul 5 ptg, setelah menangis teresak-esak (maklum saja, anak bongsu!). Namun, keadaan berubah apabila Iman melihat abg Aqif yg seronok semasa berbuka puasa. Mulai hari ke-2, insya Allah sehingga ke hari ini masih lagi bertahan, Iman mula berpuasa.

Ramadhan sebenarnya mempunyai falsafah yg sangat mendalam untuk kita kaji dan hayati. Kita boleh melihat daripada pelbagai aspek sama ada spiritual, fizikal, mental, biologi, sains, metafizik dan sebagainya. Begitulah besarnya nikmat yg diberikan kpd kita semua.

Insya Allah, pada Ramadhan ini amalan kita akan menjadi lebih baik lagi. Wasalam!