Friday, January 29, 2010

New Year, New Beginning, New Determination, New Challenge


Alhamdulillah kali ini kedatangan Tahun Baru Hijriah dan Tahun Baru Masehi boleh dikatakan serentak. Tidak jauh bezanya, hanya dalam tempoh satu minggu sahaja. Setiap kali menyambut tahun baru, banyak perkara yang boleh ditinjau semula untuk dibuat pertimbangan sewajarnya sama ada masih perlu atau tidak lagi perlu. Saya sering bertanya kepada anak-anak setiap kali mereka meminta dibelikan sesuatu, yang saya kira tidaklah atau kurang signifikan daripada sudut kewajarannya, akan soalan berikut, "keperluan atau kemahuan?". Memanglah, mereka akan merungut, namun saya berpendapat kita perlu mendedahkan kepada mereka akan langkah-langkah membuat pertimbangan apabila berhadapan dengan sesuatu pilihan, masalah atau situasi.

Kembali semula ke sambutan tahun baharu, saya letakkan tajuk seperti di atas kerana bagi saya tahun 2010 ini merupakan tahun yang banyak signifikannya kepada saya, secara peribadi. Kata orang putih, "life start at 40", menurut sejarah Islam, Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama tatkala berusia 40 tahun, kata orang Melayu pula, waktu umur mencecah 40 tahun, kita akan berada di beberapa persimpangan sama ada ke kiri atau ke kanan, patah balik atau "meredah jalan tak tentu hala". Mugkin pengalaman selama 40 tahun boleh membantu kita untuk membuat pertimbangan dan menilai serta melihat kewajarannya sebelum kita berbuat sesuatu.

Kata salah seorang sahabat saya, kita seharusnya bersyukur kerana berjaya sampai ke tahap ini. Ramai yang telah pergi meninggalkan kita tatkala berada di tahap kita, malah ada juga yang masih belum mencapai tahap kita. Saya bertemu dengan salah seorang sahabat sekolah rendah saya baru-baru ini, dan dilanjutkan melalui FB, beliau secara drastiknya telah membuat keputusan untuk kembali aktif seperti dahulu dan meletakkan kesihatan diri sebagai keutamaannya. Bagi saya, alhamdulillah kerana semua perkara yang dilakukannya, insya Allah akan membawa kebaikan. Terutamanya daripada aspek kesihatan, kerana waktu umur menginjak 40 tahun, badan, fizikal, minda, mental danintelektual kita akan terdedah kepada semua pilihan yang ada. Persoalannya ialah, "to be or not to be?". Jadi, semuanya berbalik kepada diri kita sendiri, di samping persekitaran dan orang-orang yang rapat dengan kita. Kata hadith, "siapa diri kamu itu bergantung kepada orang-orang yang berada di sekeliling kamu".

Sebelum terlupa, blog ini dikemaskini tepat satu tahun selepas kali terakhir dikemaskini ialah pada tarikh 29 Januari 2009. Apa signifikannya tarikh tersebut kepada kami? Hari ini ialah tarikh ulang tahun kelahiran isteri saya, dan ibu kepada anak-anak saya.

Kami doakan semoga Mama sentiasa sihat sejahtera, dilimpahi kurnia kesihatan kelapangan, rezeki, kelapangan, panjang umur, barakkah, inayah dan hidayah dari-Nya, insya Allah.

Terima kasih juga kerana sentiasa bersama kami selama 12 tahun ini. Terima kasih kerana menerima kami seperti adanya. Mudah-mudahan kasih sayang kita berkekalan selamanya.

Dari kami:

Aqif Jazlie Rizal, Imran Rizal, Jamal Rizal.
Kampung Pak Mahat, Kuantan.

No comments: