Wednesday, September 10, 2008

CINTAKAN NEGARA



Sejak akhir-akhir ini pelbagai perkara pelik berlaku di negara kita ini. Ulang tahun kemerdekaan kali ke-51 baru-baru ini seperti sambutan biasa yang tidak meninggalkan kesan. Entah apa silapnya, semakin ramai rakyat Malaysia menjadi aneh dalam tingkah laku dan akal fikirannya. Semua perkara mahu dipersoal dan dipertikai. Paling mengerikan apabila segelintir kecil manusia yang menggelar diri mereka pemimpin mempersoal kebebasan di negara ini sebagai kebebasan bersyarat.

Di dunia ini sebenarnya tidak ada kebebasan mutlak. Semua kebebasan ada had dan batasnya. Pepatah Inggeris menyebut bahawa "sky is the limit" yang menyatakan bahawa apa jua yang dibuat, difikir dan diangankan, PUN masih ada batasnya. Jika kita ingin mengamalkan kebebasan mutlak, kita akan menjadi seperti binatang. Sebagai contoh, daripada aspek pewarisan, seekor binatang tidak semestinya hanya boleh digauli oleh pasangannya sahaja, tetapi oleh mana-mana binatang yang kehausan dan memerlukan layanan. Adakah kebebasan seperti ini yang kita inginkan?

Atau di dalam kes perkahwinan sejenis yang diamalkan di negara-negara Barat. Mereka sering menggunakan hak asasi manusia sebagai penghalal kepada perbuatan tersebut. Sebenarnya, perbuatan mereka itu juga atau turut menidakkan hak asasi orang lain, atau jiran di sekeliling mereka. Manakan tidak, jika kita mempunyai jiran yang sama jenis tetapi berpelukan dan melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Sebenarnya, keadaan di negara kita jauh lebih baik daripada negara lain. Hanya sahaja, kita kadang-kadang tidak mahu mengakui kejayaan para pemimpin kita dan diri kita sendiri juga menjaga keharmonian negara ini. Cukuplah kita mempersoalkan hak-hak orang lain, kerana hak kita sendiri pun belum tentu kita tahu dan kita jaga.

Biar rosak nila seketul, jangan rosak susu sebelanga!

Tuesday, September 9, 2008


PUASA DAN ANAK-ANAKKU

Puasa kali ini sangat memberi kesan kepada kami suami isteri kerana kedua-dua anak kami berpuasa. Perasaan gembira, bangga, lucu, sedih semuanya bercampur-baur. Ini semua mengingatkan kembali kepada kenangan berpuasa semasa kecil dahulu.

Jika tidak salah diingatan, saya hanya berpuasa penuh mulai darjah 3, sewaktu berumur 9 tahun. Sebelum itu, puasa "yang-yok", siang-siang buka periuk. Nakalnya waktu itu, saya berkomplot dengan arwah Aki (Hj. Suboh bin Abas) mencari nasi, kuih atau bubur pisang yang dimasak oleh arwah Wan (Hjh. Saujah bt Lebai Kudap) di dapur. Aki tak makan, tetapi cucunya yang makan. Bila tiba waktu berbuka, Wan akan selalu terkejut melihat bubur pisang atau bubur keledeknya berkurangan. Namun, "kemahiran" itu tak perlulah diturunkan kepada anak-anakku, semoga mereka berpuasa sesungguhnya, tidak seperti Baba mereka.

Kenangan berpuasa di perantauan juga penuh nostalgia. 4 kali menyambut dan meraikan Ramadhan di Bumi Andalas sememangnya penuh dengan cabaran. Semua itu mematangkan. Sekarang, Ramadhan kali ini, insya Allah akan berusaha yang terbaik menjalankan syariatNya. Kalau tidak, malulah Baba dengan anak-anaknya!

RAMADHAN AL-MUBARAK 1429


Assalamualaikum wrh wbh,

Alhamdulillah, Ramadhan datang lagi menjenguk kita kali ini. Mudah-mudahan kita semua diberikan kekuatan dan kelapangan untuk meraikan Ramadhan yg hanya berkunjung sekali dalam setahun.

Bagi saya dan keluarga, setiap kali Ramadhan datang terutamanya selepas 2004 (Ramadhan 1425), ianya membawa erti yg sangat mendalam dan berbekas. Ketika Ramadhan menjengah hari ke 27, ayahandaku, Haji Razali bin Haji Suboh (60 tahun ketika itu) kembali ke rahmatullah. Beliau menghidap sakit jantung dan meninggal dunia semasa berada di wad Hospital Besar Temerloh (lama).

Namun, kehidupan kita mesti diteruskan. Sahabat saya, Ustaz Zuridan sering menyebut bahawa, kita yg masih ada di dunia ini sentiasalah berdoa ke hadrat Allah SWT agar roh mereka yg terdahulu mendapat berkah dan kurnia dariNya. Selain itu, doa yg kita panjatkan itu adalah amal jariah sama seperti ilmu, usia serta harta yg kita miliki. Doa ialah sedekah yg tidak akan terhenti dari kita kepada mereka yg telah tiada.

Ramadhan 1429 ini, saya sangat gembira apabila kedua-dua anak saya berpuasa. Bagi Abg Aqif, beliau telah mula berpuasa sejak bersekolah tadika, tetapi bagi adik, Iman, agak liat sedikit. Pada hari pertama, beliau berbuka pada pukul 5 ptg, setelah menangis teresak-esak (maklum saja, anak bongsu!). Namun, keadaan berubah apabila Iman melihat abg Aqif yg seronok semasa berbuka puasa. Mulai hari ke-2, insya Allah sehingga ke hari ini masih lagi bertahan, Iman mula berpuasa.

Ramadhan sebenarnya mempunyai falsafah yg sangat mendalam untuk kita kaji dan hayati. Kita boleh melihat daripada pelbagai aspek sama ada spiritual, fizikal, mental, biologi, sains, metafizik dan sebagainya. Begitulah besarnya nikmat yg diberikan kpd kita semua.

Insya Allah, pada Ramadhan ini amalan kita akan menjadi lebih baik lagi. Wasalam!