Tuesday, September 9, 2008


PUASA DAN ANAK-ANAKKU

Puasa kali ini sangat memberi kesan kepada kami suami isteri kerana kedua-dua anak kami berpuasa. Perasaan gembira, bangga, lucu, sedih semuanya bercampur-baur. Ini semua mengingatkan kembali kepada kenangan berpuasa semasa kecil dahulu.

Jika tidak salah diingatan, saya hanya berpuasa penuh mulai darjah 3, sewaktu berumur 9 tahun. Sebelum itu, puasa "yang-yok", siang-siang buka periuk. Nakalnya waktu itu, saya berkomplot dengan arwah Aki (Hj. Suboh bin Abas) mencari nasi, kuih atau bubur pisang yang dimasak oleh arwah Wan (Hjh. Saujah bt Lebai Kudap) di dapur. Aki tak makan, tetapi cucunya yang makan. Bila tiba waktu berbuka, Wan akan selalu terkejut melihat bubur pisang atau bubur keledeknya berkurangan. Namun, "kemahiran" itu tak perlulah diturunkan kepada anak-anakku, semoga mereka berpuasa sesungguhnya, tidak seperti Baba mereka.

Kenangan berpuasa di perantauan juga penuh nostalgia. 4 kali menyambut dan meraikan Ramadhan di Bumi Andalas sememangnya penuh dengan cabaran. Semua itu mematangkan. Sekarang, Ramadhan kali ini, insya Allah akan berusaha yang terbaik menjalankan syariatNya. Kalau tidak, malulah Baba dengan anak-anaknya!

No comments: