Sunday, February 26, 2012

Selamat Hari Ulang Usia Kelahiran

Selamat Hari Ulang Usia Kelahiran untuk Ibuku yang ke-60 (24 Februari 1952). Kami doakan semoga sentiasa dilimpahi kurnia dan hidayah dari-Nya, insyaAllah.

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Budi kasih Mak kami bawa sampai ke mati.

Kak Long, Angah, Ade, Atih, Achu, Pak Long, Kak Ngah, Fizal, Mak Tih, Kakak Farah, Cik Pahim, Diah, Abg Aqif, Iman, Akmal, Arfan, Boy.
No. 18, Kg. Relong,
Kuala Lipis.

Thursday, April 7, 2011

Belasungkawa

al-Fatihah

1. Azmi Jamaluddin (1967- 13 Februari 2011), Kg. Temin, Jerantut.
2. Mohd Kamal Shahmafi Mohd Yusof (1983- 5 Mac 2011), Kg. Relong, Kuala Lipis.

Moga-moga dilimpahi kurnia dan dicucuri rahmat-Nya dan tergolong dikalangan orang-orang yang beriman, insyaAllah.


Kg. Pak Mahat
Kuantan.

Tuesday, February 9, 2010

Kotaku Menangis




Gelegar bergegar menggeletar
Pasak bumi menggeligih berselisih
Langit kusam
Lantai menderam
Teluk Bayur menggumam sendu


Gadisku
Siti Nurbaya berjurai tangis
Pantai Padang
Tak putih lagi pasirnya

Anak-anak tak berlari lagi
Menghitung senyum mentari
Yang menggamit di garis horizon
Limau Manih tersendu
Berduka usai rinai bertelingkah
Saluang berbunyi sayup
Menangkap hawa

Di jalan-jalan sepi ini
Mereka tak bisa berlarian lagi
Langkah-langkah kian kecil
Kesandung puing bercerangahan
Yang menyapa jadi bebayang

Hancur luluh hatiku
Indera terkocak
Kutanya pada semilir angin,
Apa bisa aku berlari lagi di Jalan Soedirman
Solat di Mesjid Raya
Menikmati enaknya sate udang
Berkongsi kerepek berlado
Yang kami beli di Pondok Cina
Mensyukuri nasi ampera di warung Uda Mon
Menghadap alam yang terkembang jadi guru



Di sini,
Ingin sekali ku ulangi
Kucicipi kenangan itu
Di ranah ini

Walau,
Kotaku kini menangis.


Kuantan 2009.
(saat Padang dihempas gempa 7.6 Richter, sobatku mudah-mudahan kalian dilindungi Allah SWT : Ibu Yett, Pak Yusoff, Zuriati, Zulmasri, A’an, Ella, Gunelti, Ika, Yudhi, Syukri, Maya, Gibson, A’al, Chi-El, dan semuanya)

At the Edge of Forty



Kata orang, semakin umur kita bertambah, usia kita sebenarnya semakin kurang. Mungkin benar kerana, setiap saat dan detik, kita sebenarnya semakin hampir dengan panggilan abadi. Nombor yang mewakili umur kita semakin besar, tetapi kualitinya semakin kecil. Kadang-kadang kita lupa dengan hakikat ini. Kadang-kadang kita terlalu sibuk, hinggakan hak yang sebenar-benarnya hak kita abaikan. Hak yang bukan hak, sering mendapat tempat.

Adakalanya kita juga cuba memutar semula segala yg telah berlaku sebelumnya. Tak salah utk "introspeksi", tapi janganlah sampai kita hanyut pula dengan pengalaman atau "sentimental value", kerana kita cenderung utk bermanja-manja dengan penglaman lampau. Apatah lagi kalau pengalaman itu membawa seribu makna dan kenangan, tak kisahlah sama ada pahit, manis, masam, kelat atau apa sahaja rasanya.

Kadang-kadang, di dalam proses introspeksi itu, kita sering bertanyakan soalan yg mungkin kita tidak ada jawapannya, atau mungkin kita ada jawapannya. Sebagai contoh, kenapa kita tak buat begitu, kenapa kita buat begini, kalau buat ini, kalau buat itu, dan bermacam-macam soalan lagi. Dalam surah Al-As'r, kita diingatkan supaya tidak bermalas-malas atau menangguhkan sesuatu, terutamanya sesuatu yang baik dan berfaedah sama ada utk diri sendiri, mahupun utk orang ramai.

Di dalam konteks ini, kita ambil contoh kesihatan. Alhamdulillah, kita dilahirkan sebagai manusia yg sihat dan cukup sifat. Tapi, tidak mustahil jika lama-kelamaan, segala-galanya akan hilang jika kita tidak mengambil perhatian dan bersungguh-sungguh menjaganya. Kesihatan yg diberi kepada kita jika tidak dijaga, akan rosak suatu hari nanti. Kerosakan itu akan datang sama ada disebabkan oleh kita sendiri, atau pun disebabkan oleh orang/benda lain. Namun, kebiasaannya disebabkan oleh kita sendiri. Justeru, kita perlulah menjaga kesihatan kita supaya tidak mendatangkan masalah kepada kita. Terutamanya jika ianya menghalang untuk kita beribadah kepada-Nya.

Begitu juga dengan perkara-perkara, hal, mimpi, impian atau cita-cita yang masih belum kita capai. Tak perlulah kita berasa tertekan kerana masih belum berjaya menggapainya. Yang paling penting ialah, kita terus berusaha sesuai dengan keupayaan dan terus istiqamah. Insya Allah, suatu hari kita akan berjaya.

Justeru, janganlah kita cepat berasa kecewa, hampa, tertekan atau sebagainya jika belum lagi mencapai tahap yg kita inginkan. Tidak istilah terlambat, ingatlah bahawa Nabi Muhammad SAW mendapat wahyu dari Allah SWT tatkala usia baginda menginjak ke 40 tahun. Anggaplah, peristiwa tersebut sebagai satu "paradigm shift" yang besar kepada kita. Kita perlu kekal berminda positif, tekal berusaha, memohon redha dan panduan-Nya, dan meletakkan tawaqal kepada Allah SWT.

Masih belum terlambat utk menjaga kesihatan, belum lewat utk mencapai cita-cita, belum "urung" utk menambah ibadah, belum usai waktu dan peluang utk menggapai impian. Anggaplah "at the edge of forty" sebagai satu tahap atau fasa kehidupan normal yg sudah ditakdirkan utk kita lalui dan harungi. Cuma, persoalan sekarang ialah, "at the edge of forty" adalah persimpangan untuk "to be or not to be". Pilihlah!

Monday, February 1, 2010

Back to Nature





Sabtu, 30 Januari 2010.

Sabtu kali ini bercadang nak bawa anak-anak mendaki Bukit Pelindung. Bukit ini terletak di tepi Pantai Teluk Chempedak, Kuantan. Berdasarkan maklumat yg tertera di papan kenyataannya, tinggi bukit ini ialah 221 meter dari paras laut. Di atas bukit ini, terletak 2 buah pencawang alat telekomunikasi.

Dari segi kedudukannya, Bukit Pelindung merupakan zon penampan semulajadi kepada angin, ribut, ombak dari Laut China Selatan. Juga dikatakan bahawa Bukit Pelindung akan bertindak sebagai penampan kepada sesuatu yang terjadi di kawasan perindustrian Gebeng. Contohnya, jika berlaku kebocoran gas, kebakaran atau lain-lainnya daripada menghampiri bandar Kuantan.

Namun, jika kawasan ini tidak dipelihara dan dijaga sesuai dengan kewujudannya secara semulajadi, tidak mustahil bukit ini akan pupus dalam jangka masa terdekat. Saya katakan demikian kerana, terdapat beberapa kawasan perumahan sedang dibina di kaki bukit ini. Sekiatar tahun 2007 dan 2008 lalu, telah berlaku banjir lumpur yang mengakibatkan kawasan perumahan di Tok Sera dibanjiri lumpur yang turun dari bukit ini. Paling menyedihkan, masjid Tok Sera juga telah dibanjiri lumpur.

Menyedari hakikat ini, saya telah membawa kedua-dua anak lelaki saya mendaki bukit ini dengan pelbagai pengharapan. Walau pun agak mencabar bagi mereka, saya mengharapkan agar mereka dapat menghayati dan menyanjung kewujudan alam semula jadi. Saya sukakan hutan, mudah-mudahan anak-anak saya juga sukakan hutan. Mungkin kedengaran agak lucu, kerana mereka lahir dan dibesarkan di bandar. Namun, setiap kali pulang ke kampung, saya suka memandu menggunakan jalan-jalan lama menuju ke Kuala Lipis yang dinaungi hutan. Dingin, segar, dan indah sekali.

Pendakian kali pertama bagi anak-anak saya memberikan kesan kepada mereka berdua. Tak dinafikan, mereka berdua perlu diberi motivasi dan rangsangan untuk sampai ke puncak. Alhamdulillah, selepas hampir 6 kali berhenti untuk mengambil nafas, kami bertiga sampai di puncak. Sebaik saja sampai, kami hantar gambar menggunakan MMS ke Mama (kat office!), Atih (kat KL), Mak Long (kat KL, dlm perjalanan ke N9, ada sepupu Pak Long bertunang). Insya Allah, jika ada kesempatan nanti, kita ajak Mama sekali!

Abg Aqif Sunat





01 Disember 2009,

Abg Aqif bersunat di KSH. Wan pun datang, nak tolong tengok-tengokkan Abg Aqif. Iman pun sebenarnya nak sunat juga, tapi Doktor kata dia batuk. Jadi, Doktor nasihatkan tak payah buat kali ini sebab, Doktor nak guna bius. Iman batuk dan selsema, Doktor kata nanti kalau dah kena bius, bimbang pernafasan dia terganggu. Iman nangis sebab dia nak sunat juga macam Abg Aqif. Doktor yang sunatkan Abg Aqif ialah Doktor Huzaimi, dia tinggal di sebelah rumah lama kami di Kubang Buaya.

Abg Aqif sedar pada pukul 1.00 tengahari. Kami pun bawa dia balik ke rumah. Di rumah, Abg Aqif berehat di biliki belakang, Wan pun tidur di bilik kami. Baba dan Mama bercuti seminggu semasa Abg Aqif bersunat. Iman pun bosan sebab tak dapat nak main dengan Abg Aqif.

Insya Allah, cuti panjang bulan Disember 2010 nanti, Iman pula yang bersunat. Masa tu, Abg Aqif kena tolong jaga Iman, sebab Abg Aqif dah sihat.

Kepada anakku, Muhammad Aqif Jazlie Rizal, selamat datang ke alam dewasa!

Mama & Baba,
Kg. Pak Mahat.

Friday, January 29, 2010

New Year, New Beginning, New Determination, New Challenge


Alhamdulillah kali ini kedatangan Tahun Baru Hijriah dan Tahun Baru Masehi boleh dikatakan serentak. Tidak jauh bezanya, hanya dalam tempoh satu minggu sahaja. Setiap kali menyambut tahun baru, banyak perkara yang boleh ditinjau semula untuk dibuat pertimbangan sewajarnya sama ada masih perlu atau tidak lagi perlu. Saya sering bertanya kepada anak-anak setiap kali mereka meminta dibelikan sesuatu, yang saya kira tidaklah atau kurang signifikan daripada sudut kewajarannya, akan soalan berikut, "keperluan atau kemahuan?". Memanglah, mereka akan merungut, namun saya berpendapat kita perlu mendedahkan kepada mereka akan langkah-langkah membuat pertimbangan apabila berhadapan dengan sesuatu pilihan, masalah atau situasi.

Kembali semula ke sambutan tahun baharu, saya letakkan tajuk seperti di atas kerana bagi saya tahun 2010 ini merupakan tahun yang banyak signifikannya kepada saya, secara peribadi. Kata orang putih, "life start at 40", menurut sejarah Islam, Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama tatkala berusia 40 tahun, kata orang Melayu pula, waktu umur mencecah 40 tahun, kita akan berada di beberapa persimpangan sama ada ke kiri atau ke kanan, patah balik atau "meredah jalan tak tentu hala". Mugkin pengalaman selama 40 tahun boleh membantu kita untuk membuat pertimbangan dan menilai serta melihat kewajarannya sebelum kita berbuat sesuatu.

Kata salah seorang sahabat saya, kita seharusnya bersyukur kerana berjaya sampai ke tahap ini. Ramai yang telah pergi meninggalkan kita tatkala berada di tahap kita, malah ada juga yang masih belum mencapai tahap kita. Saya bertemu dengan salah seorang sahabat sekolah rendah saya baru-baru ini, dan dilanjutkan melalui FB, beliau secara drastiknya telah membuat keputusan untuk kembali aktif seperti dahulu dan meletakkan kesihatan diri sebagai keutamaannya. Bagi saya, alhamdulillah kerana semua perkara yang dilakukannya, insya Allah akan membawa kebaikan. Terutamanya daripada aspek kesihatan, kerana waktu umur menginjak 40 tahun, badan, fizikal, minda, mental danintelektual kita akan terdedah kepada semua pilihan yang ada. Persoalannya ialah, "to be or not to be?". Jadi, semuanya berbalik kepada diri kita sendiri, di samping persekitaran dan orang-orang yang rapat dengan kita. Kata hadith, "siapa diri kamu itu bergantung kepada orang-orang yang berada di sekeliling kamu".

Sebelum terlupa, blog ini dikemaskini tepat satu tahun selepas kali terakhir dikemaskini ialah pada tarikh 29 Januari 2009. Apa signifikannya tarikh tersebut kepada kami? Hari ini ialah tarikh ulang tahun kelahiran isteri saya, dan ibu kepada anak-anak saya.

Kami doakan semoga Mama sentiasa sihat sejahtera, dilimpahi kurnia kesihatan kelapangan, rezeki, kelapangan, panjang umur, barakkah, inayah dan hidayah dari-Nya, insya Allah.

Terima kasih juga kerana sentiasa bersama kami selama 12 tahun ini. Terima kasih kerana menerima kami seperti adanya. Mudah-mudahan kasih sayang kita berkekalan selamanya.

Dari kami:

Aqif Jazlie Rizal, Imran Rizal, Jamal Rizal.
Kampung Pak Mahat, Kuantan.