Monday, February 1, 2010

Back to Nature





Sabtu, 30 Januari 2010.

Sabtu kali ini bercadang nak bawa anak-anak mendaki Bukit Pelindung. Bukit ini terletak di tepi Pantai Teluk Chempedak, Kuantan. Berdasarkan maklumat yg tertera di papan kenyataannya, tinggi bukit ini ialah 221 meter dari paras laut. Di atas bukit ini, terletak 2 buah pencawang alat telekomunikasi.

Dari segi kedudukannya, Bukit Pelindung merupakan zon penampan semulajadi kepada angin, ribut, ombak dari Laut China Selatan. Juga dikatakan bahawa Bukit Pelindung akan bertindak sebagai penampan kepada sesuatu yang terjadi di kawasan perindustrian Gebeng. Contohnya, jika berlaku kebocoran gas, kebakaran atau lain-lainnya daripada menghampiri bandar Kuantan.

Namun, jika kawasan ini tidak dipelihara dan dijaga sesuai dengan kewujudannya secara semulajadi, tidak mustahil bukit ini akan pupus dalam jangka masa terdekat. Saya katakan demikian kerana, terdapat beberapa kawasan perumahan sedang dibina di kaki bukit ini. Sekiatar tahun 2007 dan 2008 lalu, telah berlaku banjir lumpur yang mengakibatkan kawasan perumahan di Tok Sera dibanjiri lumpur yang turun dari bukit ini. Paling menyedihkan, masjid Tok Sera juga telah dibanjiri lumpur.

Menyedari hakikat ini, saya telah membawa kedua-dua anak lelaki saya mendaki bukit ini dengan pelbagai pengharapan. Walau pun agak mencabar bagi mereka, saya mengharapkan agar mereka dapat menghayati dan menyanjung kewujudan alam semula jadi. Saya sukakan hutan, mudah-mudahan anak-anak saya juga sukakan hutan. Mungkin kedengaran agak lucu, kerana mereka lahir dan dibesarkan di bandar. Namun, setiap kali pulang ke kampung, saya suka memandu menggunakan jalan-jalan lama menuju ke Kuala Lipis yang dinaungi hutan. Dingin, segar, dan indah sekali.

Pendakian kali pertama bagi anak-anak saya memberikan kesan kepada mereka berdua. Tak dinafikan, mereka berdua perlu diberi motivasi dan rangsangan untuk sampai ke puncak. Alhamdulillah, selepas hampir 6 kali berhenti untuk mengambil nafas, kami bertiga sampai di puncak. Sebaik saja sampai, kami hantar gambar menggunakan MMS ke Mama (kat office!), Atih (kat KL), Mak Long (kat KL, dlm perjalanan ke N9, ada sepupu Pak Long bertunang). Insya Allah, jika ada kesempatan nanti, kita ajak Mama sekali!

No comments: